“Semoga usahaku berhenti merokok ini berterusan” kata Ali.
Dalam bunyinya.
“Mudah-mudahan menjadi” ujar Aminah, berhajat untuk menurunkan berat badannya.
“Insya Allah, ok kot” ujar Siti.
Beliau mahu memberhentikan tabiatnya yang hantukan roti telur bawang di kedai mamak.
Hakikatnya, apa sahaja hasrat perubahan yang dinyatakan bersama perkataan-perkataan ‘kalau’, ‘semoga’, ‘mudah-mudahan’, ‘ok kot’, hatta Insya Allah ‘versi Melayu’, semua akan gagal. Semuanya menggambarkan kegagalan di awal langkah perjalanan. Ia bukan sebuah tekad. Ia amat jauh daripada peraturan perubahan pada langkah satu, iaitu:
“Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” [Aal 'Imraan 3: 159]
TELADAN KISAH ASHAAB AL-KAHF
Islam adalah sumber terbaik untuk membangkitkan manusia.
Bangkit daripada kegagalan.
Bangkit daripada kemunduran.
Namun bangkitnya mesti berstrategi. Agar jangan ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Langkah untuk bangkit, dibentangkan oleh Allah Subhanahu wa Taala di dalam kisah pemuda al-Kahf.
“Sesungguhnya mereka itu adalah para pemuda yang telah beriman kepada Tuhan mereka. Lalu Kami pertambahkan kepada mereka petunjuk. Dan Kami ikatkan hati mereka…” [Al-Kahf 18: 13-14]
Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang sebuah hakikat al-Quran berkaitan dengan Iman dan Hidayah.
Seorang mukmin itu berada di posisi memilih. Mengambil langkah yang pertama. Memilih untuk menetapkan kesungguhan, keazaman dan pendirian. Memilih untuk beriman.
Inilah cabaran terbesarnya iaitu pada mengambil langkah yang pertama. Selagi langkah pertama ini tidak diambil, tiada bantuan dan sokongan kemudahan yang boleh diharapkan daripada Allah. Rule of the game yang ditetapkan oleh Allah ialah, kamu harus memulakannya terlebih dahulu. Setelah pemuda al-Kahf itu bertindak mengimani Allah, barulah Allah datangkan sokongan dan jalan-jalan kemudahan untuk melapangkan jalan merealisasikan pilihan tersebut.
Benar sekali kata pepatah:
البداية نصف الشيء
“Permulaan itu adalah separuh daripada sesuatu”
Setelah bermula, selesai separuh daripada urusan itu.
Yang susahnya adalah untuk bermula.
Yakinlah, apabila kita bertindak memulakan apa yang hendak dimulakan, bantuan untuk memudahkannya akan datang.
Setelah itu, barulah muncul sesuatu yang penting untuk mengekalkan seseorang di atas jalan perubahan tersebut. Istiqamah.
“… Dan Kami ikatkan hati mereka…” [Al-Kahf 18: 14]
Seperti air di dalam sebuah botol. Air itu mungkin akan berkurang kerana tersejat ke udara. Bisa sahaja hilang apabila tumpah dari bekasnya. Lalu botol itu ditutup, dan diikat penutupnya. Sebagai perumpamaan yang digunakan oleh Sayyid Qutb pada menggambarkan erti ayat ini.
Pemuda al-Kahf memilih untuk beriman.
Allah menyokong pilihan itu dengan memberikan petunjuk untuk menjayakannya.
Pilihan itu seterusnya diperkukuhkan, apabila keazaman mereka bersimpul mati. Tekad. Nekad.
Benar sekali kata Abu Tayyib al-Mutanabbi:
إذا كنت ذا رأي فكن ذا عزيمة…. فإنّ فساد الرأى ان تترددا
“Jika kamu seorang yang mempunyai pandangan, maka jadilah juga seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya suatu pandangan itu akan menjadi rosak, hanya kerana kamu berbelah bagi”
Pandangan yang baik boleh rosak, semata-mata kerana kita sendiri tidak bulat hati terhadapnya. Teragak-agak. Berbelah bagi. Melayan bisikan-bisikan alasan, yang entah dari nafsu, entah dari Syaitan, tetapi لاoleh sahaja disangka ‘suara Tuhan’.
Untuk Allah Subhanahu wa Ta’aala mengikat hati manusia, Dia letakkan syarat-syaratnya. Hati yang bulat memerlukan karakter tertentu pada diri.
KISAH MUHAMMAD ABDUH
Ingatkah kita kepada kisah Muhammad Abduh di usia belasan tahun, melarikan diri daripada Jame’ Ahmadi di Tanta, Mesir, kerana membantah sistem pendidikan di sekolahnya itu yang tidak memberikan kepuasan diri? Bukanlah melarikan diri daripada sekolah itu yang hendak dicontohi. Namun nekad untuk lari dari sekolah kerana sebuah prinsip dan kepercayaan itulah yang dikagumi. Karakter yang kuat.
Will power yang tinggi.
Determination!
Karakter ‘degil’ dan keras kepala itu penting sebagai tempat untuk menjadi tapak membina agama.
Hari ini, antara punca sukarnya kita untuk istiqamah adalah kerana karakter yang lemah. Gagal menimbulkan upaya berpendirian terhadap sesuatu. Hanya dengan sedikit rangsangan luar, pendirian kita mudah berubah. Berubah kepada baik atau berubah kepada buruk, sama sahaja. Sukar bertahan.
BERHENTI MEMBUAT ALASAN
“Bolehkah aku kurangkan berat badan? Aku ada 30 chef sebulan. Sentiasa makan makanan yang dihidangkan orang. Inilah nasib penceramah. Apa nak buat…”
Sudah puas beralasan begitu.
Meletakkan seolah-olah perubahan akan hanya berlaku jika 30 chef itu berubah. Jika dunia berubah menyokong kehendakku untuk berubah.
Semasa ditepuk bahu oleh doktor di klinik Endokrinologi PPUKM yang kecewa dengan perkembangan kesihatan saya, fikiran ini terus teringat kepada ceramah saya berkenaan Surah al-Kahf ini. Tiba masanya, saya diuji dengan apa yang saya kata.
- Buat pilihan, mula bertindak
- Allah akan mudahkan
- Hati akan diikat untuk nekad
Berhentilah membuat alasan.
Diri ini sendiri yang sedang di persimpangan membuat pilihan. Pilihan untuk sebuah perubahan.
Selagi hasrat berubah itu disaluti oleh kalimah ‘kalau’, ‘semoga’, ‘mudah-mudahan’, ‘ok kot’, hatta Insya Allah ‘versi Melayu’, semua akan gagal. Saya harus nekad seperti nekadnya Ashaab al-Kahf. Saya yang harus memulakannya. Yakin nantinya jalan kemudahan akan dikurniakan Tuhan. Yakin kedegilan diri boleh ditimbulkan semula. Yakin bahawa hidup adalah medan kita membuat pilihan.
Pilihlah untuk berubah.
Sedikit pun tidak akan disesiakan Allah.
Yakinlah.
“Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” [Aal 'Imraan 3: 159]
Insya Allah.
Kali ini benar-benar sebuah INSYA ALLAH.
Sumber:
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
p/s: suka baca artikel ini....bnyk yang boleh diambil.. harap lepas ni dpt mengucapkan " InsyaAllah" dgn hati yang ikhlas untuk melakukannya...
0 comments:
Post a Comment