10-1=0

26 February 2012

Pasti semua antara kita ingin berusaha menjadi orang yang lebih baik, sentiasa ingin melakukan kebaikan, atau melakukan sesuatu sumbangan dalam agama. Tetapi, dalam menuju ke arah yang dimaksudkan itu, kadang-kadang kita tersilap, tergelincir mahupun tersasar. Seperti sedia maklum, tiada siapa manusia yang sempurna di sini. Namun, sikap sesetengah manusia yang gemar menghukum secara total adalah amat menggusarkan kita. Kami ingin membicarakan beberapa isu yang sering dibangkitkan dalam masyarakat kita. Semoga kita semua diberi kefahaman dan seterusnya dapat membetulkan persepsi ini.


Ingin berubah tetapi dihukum

Tiada siapa yang tidak ingin berubah menjadi lebih baik. Tetapi apabila ada segolongan melontarkan kata "Kau tidak bertudung, pasti masuk neraka!", apakah yang dapat kita fikirkan tentang perasaan mereka? Ungkapan seperti ini seringkali dijaja oleh sesetengah daripada kita di mana niatnya cukup baik dalam mengajak insan mendekati tatacara sebenar seorang muslim, namun intipatinya jauh tersasar. Adalah tidak benar menghukum seseorang masuk neraka sewenang-wenangnya seolah-olah kita yang memegang kunci pintu neraka. Haruslah diketahui, setiap amalan insan di muka bumi ini akan dihisap oleh Allah SWT, jika amal kebaikannya melebihi keburukan, maka terlepaslah dia dari azab api neraka, juga sebaliknya. Masih ingatkan kisah yang diceritakan oleh Rasulullah SAW tentang masuknya syurga oleh seorang pelacur setelah dia memberi minum kepada seekor anjing (HR Bukhari)?


Ingin belajar tetapi ditakut-takutkan

Kadang-kadang apabila kita sedang asyik melayari internet, membaca artikel-artikel keagamaan, kita disergah"Menuntut ilmu tanpa berguru ibarat belajar dengan syaitan!"Ungkapan ini cukup terkenal sekali pada hari ini sehingga kita sangka ianya adalah sabda dari Nabi SAW. Sekali dengar memang agak pelik, sekiranya menuntut ilmu tanpa berguru ibarat belajar dengan syaitan, adakah menuntut ilmu berguru ibarat dengan malaikat? Apakah jaminan sekiranya kita menuntut ilmu dengan guru kita tidak sesat? Kita tak nafikan betapa pentingnya berguru terutamanya membabitkan dalam menuntut ilmu-ilmu yang asas dan kompleks. Namun, tindakan menakut-nakutkan orang ramai dengan ungkapan ini menyebabkan mereka menjadi takut dan malas untuk mempelajari sesuatu ilmu yang baru. Zaman dahulu mungkin sukar untuk menjumpai sumber ilmu melainkan dari guru, tetapi pada hari ini mudah sahaja diperoleh menerusi kitab, buku, internet dan sebagainya. Apa salahnya mereka memanfaatkan kemudahan yang ada dalam masa yang sama menyemak kesahihan ilmu yang diperoleh mereka?


Ingin berdakwah tetapi dikondem

Sesetengah dari kita berfikiran sempit menganggap urusan dakwah hanya dikhususkan di masjid atau hanya dilakukan oleh para ustaz dan ulama semata-mata. Bagi mereka, dakwah oleh orang kebanyakan di alam maya, seperti blog, facebook, youtube dan sebagainya adalah tersasar kerana tidak ada 'lesen' atau tauliah untuk berbuat demikian. Sebahagian dari mereka lagi menganggap kata-kata ustaz mereka adalah mutlak belaka, dan barang siapa yang berbeza pandangan dengannya dikatakan sesat! Ini juga berlaku apabila, sesetengah anak muda yang cukup berdakwah secara kreatif cuba menyedarkan orang awam, mengkaji perihal fenomena yang tidak kena dengan kehidupan kita masa kini, (kita kenal dengan hari ini sebagai 'teori konspirasi'), mereka diherdik, diperlekehkan, dan dihina hanya kerana dikatakan banyak mengemukakan pandangan yang silap dan membuang masa.


Ingin melakukan kebaikan tetapi diprejudis

Meneliti senario politik di negara kita, terasa amat lucu sekali melihat telatah pak menteri, para YB dan ahli politik yang lain apabila mereka saling bercakaran. Apabila pihak kerajaan menaikkan harga barang, mereka akan dimaki pihak pembangkang, tetapi
apabila mereka menurunkan harga minyak, disindir pula macam-macam. Di sebelah pihak pula, apabila pihak pembangkang merobohkan tapak penjaja haram, mereka akan dikutuk pihak kerajaan, tetapi apabila mereka baik hati memberi wang sagu hati kepada golongan miskin, dituduh pula ambil wang haram. Amat bingung sekali melihat situasi yang kebudak-budakan ini. Mengapakah sukar kita untuk bersangka baik akan kebaikan yang dibuat mereka, seolah-olah mereka datang dari parti cap sampah yang tiada langsung sumbangan buat negara?


***

Sedarilah kita bahawa kehidupan kita sebenarnya lebih banyak menghukum berbanding memperbetulkan mereka. Alangkah indah sekiranya segala kekurangan yang dimiliki kita, cuba ditampung secara bersama semula, bukan dihukum secara mutlak seolah-olah tiada peluang untuk memperbetulkan semula. Kehidupan kita sememangnya tidak akan sempurna, maka tak perlulah seolah-olah menganggap kita semua cukup sempurna. 10-1 adalah bersamaan dengan 9, bukan 0. Wallahualam


p/s: Jangan menjadi insan yg terlalu cepat menghukum.. kita pda hari ini tak kan sama dengan hari esok...tetap nak kata 10-1=0...:)

3 comments:

wakkerisi said...

10-1=0
maksudnya hanya menghukum je k?

TanpaKataNama313 said...

mcm mne nk bgtahu ye.. k..la.. camni.. dibahagikn satu situasi.. dalam satu kapal ada 10 org..dalam pelayaran... terjadi satu salah faham dari salah seorg penumpang..dan nekad utk turun dari kapal tu...padahal..salah faham itu boleh dielak klau diberi teguran dgn cara yg betul...akhirnya smpai ke destinasi hanya 9 org... mereka tetap smpai ke destinasi tpi sbgai org yg kalah... amanah yg dipikulkn pda mereka x dpt ditunaikn..

mcm tu jugak kehidupan kita.. terkadang terlalu mencari silap dari melihat kebaikan pd ssorg...& tidak ditunjukkn jln yg btul pda mereka yg tersilap langkah..dan terus kita menghukum..sehingga dia tawar hati utk berubah...

Allah hntr kita ke muka bumi...dengan kelebihan dan kekurangan.. x de yg 100% sempurna..dgn tujuan utk melengkapi satu sama lain...tanpa 10 jari tidak akan lengkap satu tangan....:)

wakkerisi said...

woha...=)
tanpa 10 jari tidak akan lengkap satu tangan...